Ketua Negara

Ketua negara ialah istilah am untuk pegawai individu atau berkumpulan yang berkhidmat selaku ketua wakil awam sesebuah negara berdaulat, tanpa mengira sistem beraja, republik, persekutuan, komanwel atau sebagainya. Secara amnya, peranan ketua negara termasuk menjadi lambang kesinambungan dan kesahan negara serta melaksanakan kuasa politik, fungsi dan tugasan yang diberi kepada ketua negara berlandaskan perlembagaan dan undang-undang negaranya. Di negara-negara bangsa, ketua negara dianggap sebagai "pemimpin" rasmi negara. Charles de Gaulle menyifatkan peranan seseorang presiden Perancis yang dibayangkannya ketika menulis perlembagaan Perancis moden, bahawa ketua negara harus menerapkan "semangat kebangsaan" demi bangsa dan dunia: une certaine idée de la France (satu buah fikiran tertentu tentang Perancis). Kini, kebanyakan negara mengharapkan ketua negara masing-masing menerapkan nilai-nilai bangsa yang sedemikian.